Wednesday 31 October 2012

Kertas Penerangan ini bertujuan menerangkan pengenalan rekabentuk dan fungsi aksesori peralatan yang terdapat pada sub papan suis voltan dan papan suis rendah bekalan tiga fasa untuk sesuatu pepasangan industry.



PENERANGAN
Sub papan suis dan papan suis utama adalah sebuah peti kawalan pepasangan tiga fasa voltan rendah di mana sumber bekalan yang disalurkan daripada papan suis utama voltan rendah dapat diagihkan ke dalam pemasangan di bahagian papan agihan atau terus ke panel kawalan motor. Manakala papan suis utama ( PSU ) adalah satu komponen atau perkakas pemasangan elektrik yang mula-mula sekali menerima bekalan elektrik sebelum ianya diagih-agihkan ke bahagian-bahagian beban lain atau bangunan. Ia juga merupakan pusat kawalan kepada keseluruhan pemasangan voltan rendah

1. Spesifikasi Penggunaan Sub Papan Suis.
a.     Peti sub papan suis biasanya akan diletakkan di tiap-tiap tingkat bagi bangunan bertingkat atau tiap-tiap bahagian didalam sesuatu kilang. Cabang-cabang litar seperti litar kuasa, litar lampu, kawalan motor, litar-litar pencegah kebakaran akan mengambil bekalan daripada sub papan suis utama.

b.    Sekiranya papan suis utama terletak jauh daripada sesuatu beban, sub papan suis hendaklah dipasang bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengadakan sistem kawalan ke beban tersebut.

c.     Sub papan suis direka bagi mengelakkan gangguan bekalan sekiranya terdapat mana-mana bahagian pepasangan dalam bangunan mengalami gangguan bekalan atau terdapat aktiviti penyelenggaraan pepasangan.

d.    Ia juga dapat menjimatkan kos pemasangan kabel dan mengurangkan susutan voltan sekiranya terdapat beban baban besar dalam pepasangan elektrik.

e.     Sub papan suis adalah papan suis yang mendapat bekalan utamanya dari PSU. Perkataan sub adalah relatif sebab ada papan suis yang saiznya lebih besar dari PSU di tempat lain. Sub di sini bermakna lebih kecil dari Papan Suis Utama.

f.     Sub papan suis digunakan untuk bangunan atau beban yang berada agak jauh dan terasing dari papan suis utama. Ini adalah untuk menjimatkan kabel dan memudahkan kerja-kerja kawalan senggaraan.

g.    Di dalam sub papan suis (sub-switch board) terdapatnya perkakas suis untuk tujuan kawalan dan perlindungan. Bekalan masuk utama boleh dikawal iaitu ON atau OFF di Sub-SB. Alat dan komponen perlindungan utama yang mengawal dan melindungi keseluruhan pemasangan ditempatkan di sini.

h.     Peranan, saiz fizikal dan fungsi sub papan suis adalah bergantung kepada keupayaan membawa arus, kegunaan Sub-SB itu sendiri serta apakah yang hendak dikawalnya. Ada sesetengah Sub-SB hanya mengawal beban elektrik yang tertentu sahaja misalnya motor-motor elektrik.


2.     Spesifikasi Penggunaan Papan Suis Utama.

a.     Di dalam PSU inilah terdapatnya perkakas suis untuk tujuan kawalan dan perlindungan. Bekalan masuk utama boleh dikawal iaitu ON atau OFF di PSU. Alat dan komponen perlindungan utama yang mengawal dan melindungi keseluruhan pemasangan ditempatkan di sini.

b.    Peranan, saiz fizikal dan fungsi PSU adalah bergantung kepada keupayaan membawa arus. Ada sesetengah PSU hanya mengawal beban elektrik yang tertentu sahaja misalnya motor-motor elektrik.

3.   Jenis-Jenis Rekabentuk Sub Papan Suis Dan Papan Suis.
Umumnya ada terdapat dua jenis sub papan suis dan papan suis utama yang biasa digunakan iaitu
a.     Jenis melekat di dinding ( wall mounted ).
b.    Jenis Cubicle.
Jenis melekat di dinding biasanya untuk pemasangan kecil iaitu kurang daripada 150 ampere, manakala jenis cubicle untuk pepasangan sederhana dan pemasangan besar.

4.  Binaan Sub Papan Suis Dan Papan Suis Utama
Bagi jenis cubicle binaan sub papan suis dan papan suis utama menggunakan rangka utama yang akan menyokong berat segala peralatan yang terdapat di dalam papan suis. Kekuatan rangka hendaklah minima 10G berbentuk U –section channel. Rangka yang baik adalah dari jenis berlubang-lubang dengan saiz yang sesuai dan dengan jarak 25mm supaya tidak mengurangkan kekuatan mekanikalnya. Jenis ini dipanggil jenis modular di mana ia boleh ditambah dan dibesarkan dengan mudah iaitu dengan menyambung sahaja rangka tambahan.
Di sekeliling bahagian luar ditutup dengan kepingan logam dengan tebal tertentu (tebal minima 14G di bahagian belakang dan tepi papan suis). Palang bas pembumian dengan keratan rentas yang mencukupi dipasang di bahagian bawah sebelah dalam papan suis meliputi keseluruhan sistem pembumian.

5. Terdapat Tiga Bentuk Binaan Sub Papan Suis Dan Papan Suis Utama
a.     Tiada kompartmen iaitu tiada dinding pemisah di antara bahagian-bahagian dalam sub papan suis dan papan suis utama
b.    Sebahagian berkompartmen iaitu sebahagian sahaja dipisahkan daripada yang lain.
c.     Sepenuhnya berkompartmen iaitu semua bahagian diasingkan.

Jenis mana yang kita mahukan bergantung kepada keperluan, kesesuaian, tahap keselamatan dan harga yang perlu kita bayar. Jenis yang paling baik dan mahal ialah setiap komportmen dalam PSU diasingkan dengan dinding logam supaya apabila berlaku percikan api bahagian lain tidak terlibat.Selain mahal ianya juga berat.
Jenis sederhana baik hanya memisahkan sebahagian sahaja kompartmen terutama bahagian yang menempatkan pemutus litar udara (ACB), kerana disinilah selalunya berkemungkinan besar berlaku percikan api elektrik.
Jenis yang paling mudah dan murah ialah tiada langsung pemisah di antara kompartmen di dalam PSU tersebut.







Rajah 1: Gambarajah pendawaian sesentuh dan suis kecemasan.

6. Litar Sub Papan Suis Dan Papan Suis Utama.
Terdapat beberapa litar pendawaian sub papan suis seperti:-
a.     Litar kemasukan utama
b.    Litar Keluaran ke beban
c.     Litar sekunder
d.    Litar kawalan perlindungan
e.     Litar lampu penunjuk satu fasa






Rajah 2 : Gambarajah sub papan suis jenis cubicle











Rajah 3 : Gambarajah skematik sub papan suis 3 fasa











Rajah 4 : Gambarajah papan suis utama jenis cubicle.

7      Jenis-Jenis Kemasukan Bekalan
Rekabentuk papan suis adalah mengikut kemasukan bekalan dan keperluan beban pepasangan. Ini adalah betujuan memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan keselamatan. Berikut adalah rekabentuk jenis kemasukan papan suis utama:-
a.     Papan Suis Utama Satu Kemasukan.

b.    Papan Suis Utama Dua Kemasukan.

c.     Papan Suis Utama Satu Kemasukan dari bekalan pihak pembekal serta satu Papan Suis Utama Kecemasan Automatik .( EMS – Board ).


8.     Lokasi Papan Suis
Di antara lokasi yang sesuai untuk bilik suis adalah:
a.     Berhampiran dengan penempatan beban yang tinggi bagi mengurangkan perbelanjaan submains dan kabel.

b.    Terhindar daripada banjir atau dekat dengan punca-punca air.

c.     Tidak terlindung atau terhalang oleh sesuatu supaya kerja-kerja operasi dan senggaraan mudah dijalankan.

d.    Ditempatkan didalam bilik khas dan mempunyai pintu yang berkunci

9.     Keperluan Bilik Suis
Diantara keperluan bilik suis adalah:
a.     Bilik suis hendaklah menerima pengedaran udara yang baik.

b.    Semua pintu dan lubang udara dipasang dengan anti vermin proff netting supaya serangga tidak dapat masuk.

c.     Ruang kosong berukuran minima 2.5kaki dibahagian belakang dan minima 4.5 kaki dibahagian hadapan PSU untuk kerja-kerja senggaraan .

d.    Mempunyaisaluran-saluran yang mencukupi untuk kemasukan dan keluar kabel.

e.     Bilik suis hendaklah dilengkapkan dengan alat pemadam api jenis gas yang dibenarkan seperti CO2.

f.     Lampu biasa,lampu kecemasan dan soket alir keluar dengan jumlah yang mencukupi hendaklah disediakan di dalam bilik suis.

g.    Rajah skema dan tikar getah dengan saiz yang sesuai hendaklah dipaparkan didalam bilik PSU.

10.  Pembumian Sub Papan Suis Dan Papan Suis Utama
Pembumian merupakan sambungan yang dibuat antara logam sub papan suis dan bumi. Ia bertujuan untuk memberi keselamatan kepada pengguna daripada bahaya renjatan elektrik di mana arus rosak dapat mengalir terus kebumi dan memudahkan pelantikan serta merta alat geganti rosak kebumi semasa berlaku kerosakan arus kebumi. Sistem pembumian yang dijalankan adalah jenis sistem TN-S dimana pengalir bumi dari papan suis disambungkan terus ke bahagian rangka sub papan suis.

11.  Ujian Penyelenggaraan Sub Papan Suis Dan Papan Suis Utama.
Mengikut Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 beberapa ujian perlu dijalankan pada papan suis untuk memastikan pemasangan itu betul-betul selamat semasa digunakan. Ujian semasa penyelenggaraan yang dijalankan seperti ujian semasa tanpa bekalan dan ujian semasa ada bekalan.
a.     Ujian –ujian tersebut adalah :-
b.    .Ujian keterusan alat-alat
c.     .Ujian keterusan pengalir
d.    Ujian keterusan pengalir bumi
e.     Ujian keterusan litar kawalan dan litar sekunder.
f.     Ujian rintangan penebatan
g.    Ujian suntikan utama
h.     Ujian suntikan sekunder
i.      Ujian tekanan
j.      Ujian bekalan 3 fasa
k.     Ujian turutan fasa

12.  Kabel kemasukan utama dan keluaran
Terdapat beberapa kaedah pemasangan kabel pada sub papan suis seperti penyediaan sesalur kabel bawah tanah dan dulang kabel atau trunking. Sekiranya rekabentuk pepasangan sub papan suis dan papan suis utama jenis cubicle terdapat banyak kabel keluaran, penggunaan kabel berperisai dan pelbagai teras adalah amat sesuai dipilih dengan menggunakan sesalur kabel bawah tanah. Saiz dan keupayaan kabel boleh dirujuk pada kertas penerangan kabel atau jadual pepasangan kabel elektrik (MS IEC-60364) atau buku manual pengilang kabel.

RUJUKAN :
KERTAS PENERANGAN WIM INSTITUT LATIHAN JABATAN TENAGA MANUSIA
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
MALAYSIA

No comments:

Post a Comment